Tuesday 7 January 2014

Antara keinginan dan keyakinan

InsyaAllah, bulan Februari 2014 nanti status sebagai pelajar akan digalasi. Belajar dan teruskan belajar sehingga mati. Kadang kala, rasa tidak sabar bermain di emosi. Tetapi terselit jua rasa lemah hati. Hilang keyakinan diri.

Bukan sesuatu yang mudah untuk mendaki ke peringkat PhD. Bergelar pula seorang Doktor Falsafah yang disegani. Apa yang menjadi penguat semangat di hati hanyalah untuk memenuhi harapan abah dan umi. Jadi, adakah keyakinan itu yang ingin digenggami sanubari?

Hati sering terdetik, layakkah aku berada di tempat itu? Hati sering berbisik, mampukah aku menghadapi liku-liku? Hati sering cuba melemahkan semangat yang hanya sekuat kotak tisu. Bila dicarik-carik tisu itu, maka yang tinggal hanyalah cebisan yang memilu. Oh Allah, kuatkan semangat hambaMu yang lemah semalu.

Widad Ali
Bakal pelajar yang keliru.

Mulut Disuap Pisang, Buntut Dikait Onak

Mulut Disuap Pisang, Buntut Dikait Onak

Ini satu peribahasa. Tidak pernah didengari apatah lagi disebuti. Pertama kali dengar adalah daripada mulut abah. Ingatkan abah suka-suka sebut. Nasib baik tergerak hati hendak 'google'. Sekali wujud.

Dulu masa belajar yang selalu disebut, didengar itulah yang akan kita sedar kewujudannya. Yang tidak pernah disebut, dipelajari tidak pernah kita tahu adanya ia walaupun telah termaktub dalam Kamus peribahasa.

Mulut disuap pisang, buntut dikait onak

Di depan memuji. Di belakang mengeji. Tanpa sedar, ramai di antara kita melakukan perkara yang sama. Di depan orang, pijak semut pun tak mati. Di belakang orang, gajah pun boleh hangus rentung.
Kita jarang bereaksi dalam keadaan yang sebetulnya. Seringkali kita menggunakan alasan "malaslah nak cakap banyak. Iyakan aja." Tetapi dalam masa yang sama, bukan main lagi mulut sibuk komen itu ini di belakang. Di depan, tidak pula berbunyi. Diam menikus laksana tikus menginsafi diri. Itulah yang salahnya. Apa salahnya jika menegur mana yang betul dan mana yang salah. Samada empunya diri itu mahu terima atau tidak, bukan masalah kita. Sekurang-kurangnya kita sudah jujur dalam berkata. Dan di harap sesudah menegur itu, janganlah pula berbunyi di belakang. Di takuti perkara itu akan dikelaskan dalam kelompok mengumpat, mengutuk, mengeji. Na'uzubillah.

Tidak mahu bercakap banyak. Cukuplah sekadar faham apa yang cuba disampaikan.

Sekian.
Widad Ali
Kiri kanan, belakang depan, sentiasa berbunyi.

Pertama kali

7 Januari 2014  (Selasa)
11:38am
Sepang, Selangor

Pertama kali 'melahirkan' blog WACANA IKUT SUKA. Motif, sekadar menyumbang sedikit sebanyak idea, kata, suka-suki, pengalaman, pemikiran, hikayat hidup yang tertulis, termaktub dalam lembaran kehidupan duniawi.

InsyaAllah. Moga Allah permudahkan, untuk menulis, untuk memahami, untuk memahamkan dan untuk difahami.

Sekian.

Widad Ali
Hanya Penulis Amatur.